Assalammualaikum dan salam sejahtera
Tulisan saya yang seterusnya adalah kritikan tentang sebuah buku
Antologi Sajak Pendosa yang diselenggara oleh seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah yang bernama Lokman Abdul Samad. Terdapat lebih daripada 50 karya puisi yang telah dihasilkan didalam buku antologi ini. Saya memilih 5 puisi yang terdiri daripada hasil karya penulis yang berlainan.
Buku Antologi Sajak Pendosa ini kebanyakkan daripadanya adalah karya-karya yang bersifat keagamaan ataupun ketuhanan. Penulis menghasilkan karya mereka seolah-olah mereka menggambarkan tentang apa yang mereka dan semua masyarakat disekeliling alami. Setiap puisi ditulis mempunyai unsur sindiran dan ianya untuk menyedarkan betapa manusia terlalu alpa dengan dunia sehingga melupakan akhirat dan Tuhan-nya sendiri. Karya-karya seperti ini adalah sebuah karya yang sangat baik untuk menegur sifat segelintir manusia yang mementingkan kepentingan dunia, cara menilai sifat orang lain dan sifat manusia yang tidak kenal erti bersyukur dengan kehidupan yang telah Tuhan kurniakan serta begitu juga dengan orang yang berusaha mendekatkan diri dengan pencipta.
Didalam puisi Monolog Sebuah Taubat hasil karya Nurain Binti Lambertus Guna Hala, disini saya dapat melihat bahawa penulis cuba menyampaikan bahawa penulis cuba untuk kembali mencari Tuhan apabila penulis merasakan sesuatu kesusahan atau penulis merasa terlalu kecewa tentang apa yang berlaku pada dirinya. Kaedah penulisan dan bahasa juga mudah difahami oleh pembaca tentang apa yang cuba disampaikan oleh penulis kepada pembaca. Disini dapat dilihat bahawa penulis menggambarkan seseorang yang sudah melakukan semua perkara dengan baik tetapi dia tetap sahaja merasakan ada kekurangan.
Adakah jiwaku mengerti
sejauh mana niat disanubari
sejauh mana impian ingin dikecapi
jawapannya ada pada setiap nadi
Disini juga dapat dilihat bahawa penulis menerangkan bahawa insan yang hidup dimuka bumi ini terlalu mengejar dunia seperti kekayaan dan kasih sayang 'manusia' semata sehingga lalai dengan perintah dan ajaran Tuhan. Memang jelas lumrah seorang manusia apabila merasa sedih, kecewa dan susah barulah kembali kepada Tuhan, namun dalam karya ini juga dapat dilihat bahawa sekiranya kita berusaha untuk mendapat keredhaan Tuhan sudah pasti setiap apa yang kita lakukan akan dipermudahkan oleh-Nya.
Seterusnya, beralih kepada puisi yang bertajuk Seorang Lelaki karya Wan Muhammad Amirul. Pada pandangan saya penulis cuba menggambarkan tentang seseorang yang mempunyai akhlak yang kurang baik seperti penjudi atau peminum arak. Akhlak seseorang yang tidak baik tidak semestinya tidak berfikiran jauh kehadapan lebih-lebih lagi seorang yang mempunyai sifat kepimpinan. Penulis juga cuba mengkritik atau menyindir sikap segelintir pemimpin, tentang dunia yang semakin kejam sehingga sanggup berperang dan berbunuhan antara satu sama lain begitu juga dengan ahli keluarganya. Kita tidak patut menilai orang daripada sifat luarannya sahaja walhal pemikifrannya mampu mengubah dunia. Penulis juga cuba menyampaikan bahawa dunia yang dahulu sudah tidak sama dengan yang sekarang. Sudah terlalu banyak isu yang dibangkitkan antaranya menjatuhkan orang lain, memboikot dan sebagainya. Penulis tertanya adakah manusia seperti ini akan ditempatkan disisi Tuhan walaupun mempunyai akhlak sedemikian.
Seorang lelaki
dengan satu tin Tiger di tangan kiri
berbicara tentang Tuhan
tentang ideologi
tentang zionis
tentang gadaffi
tentang liberal
Puisi
Bumi yang ditulis oleh Asbudi Bin Sjaifuddin menggambarkan bahawa manusia ini terlalu berbahagia, mengejar dan leka dengan kehidupan yang ada di atas muka bumi ini. Penulis menggambarkan bahawa manusia sudah tidak mempunyai perasaan takut kepada kehidupan yang sebenar-benarnya. Seperti yang kita lihat. Disini juga jelas dilihat bahawa penulis menggambarkan pemimpin-pemimpin besar terutamanya, mungkin juga dalam kalangan ahli politik yang sibuk mengejar nama, pangkat dan harta agar kehidupan mereka lebih mewah. Seperti yang kita tahu kekayaan tidak akan didapati dengan mudah jika tidak menggunakan cara yang kotor seperti amalan rasuah, tidak amanah dan sebagainya.
Leka dengan hanya mengumpul harta
Tapi tidak dapat diguna didalamnya
Makan benda haram berada dibumi
Tapi kita pula akan dimamah ulat
Puisi
Ikrar karya Ismailatif juga turut menggambarkan manusia yang sentiasa mengingati Tuhan. Kita dapat lihat bahawa penulis cuba menyampaikan hidupnya manusia di dunia ini adalah mempunya tujuan yang sama. Setiap manusia hendaklah sentiasa mengingati dan mendekatkan diri dengan Tuhan sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat kehidupan yang telah diberikan. Tuhan menciptakan manusia dengan sebaik-baiknya dapat melihat dunia, hirup udara yang segar, namun kita sebagai manusia kenapa tidak patuh kepada ajaran dan perintah-Nya? Disini juga dapat digambarkan bahawa seorang manusia hendaklah menyiapkan diri kerana Tuhan sudah menceritakan segala yang berlaku dan semua adalah pasti. Kita sebagai manusia yang hidup di dunia yang sementara ini perlu sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepada Tuhan dan sudah pasti kelak Tuhan akan membantu hambanya yang bertaqwa.
Yang sempurna itu ada padamu
Yang cela itu pabila adaku
Inilah ikrar ku padamu
Segalaku adalah mu
Moga kekal bersamaku
Puisi yang terakhir yang saya kritik ini adalah karya daripada Adlin yang bertajuk
Hakikat Makna Yang Dalam. Melalui puisi ini menggambarkan tentang sikap segelintir masyarakat yang cuba menggunakan agama atau menyampaikan sesuatu tidak sahih. Masyarakat sekarang lebih terdedah kepada media-media dan tanpa berfikir atau memahami serta mengerti tentang sesuatu mereka hanya menyampaikan kepada otang lain yang juga tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama. Penulis seolah menyindir masyarakat kita yang seolah-olah mempergunakan agama untuk dirinya dihormati dan disegani. Orang-orang seperti ini digelar 'Penunggang Agama'.
Salah pegang tertikam diri
Sendiri binasa
Harap pahala dosa tiba
Hati-hati bila berkata tentang hakikat makfirat
Salah kata kufur dapat
Melalui puisi-puisi yang telah saya baca dan fahami seperti yang di atas, pada pendapat saya apa yang dapat kita perhatikan melalui petikan-petikan ringkas tersebut ayat dan bahasa yang digunakan adalah agak sinis dan seolah benar-benar berunsur sindiran kepada masyarakat kita pada hari ini. Seperti yang sudah saya terangkan, masyarakat atau manusia yang hidup pada akhir zaman ini sudah tidak lagi terlalu memperdulikan tentang hakikat sebenar kehidupan. Yang dikejar adalah dunia semata.
Akhir kata, kesemua penulis telah menulis karya yang terlalu bermakna dapat dapat menyentuh perasaan pembaca. Pembaca dapat merasakan bahawa setiap hasil tulisan itu adalah benar dan dilalui oleh semua orang pada masa kini. Oleh itu, penulis-penulis dan pengkarya yang lain juga seharusnya lebih banyak menghasilkan karya yang bukan sahaja bersifat sindiran malah banyak lagi untuk membuka mata semua orang. Karya-karya seperti ini juga mampu mendapat tempat dan dengan ini dapat menunjukkan bahawa kesusasteraan melayu dapat dipelihara dan tidak ketinggalan ke belakang.