Thursday, 19 September 2019

KRITIKAN BUKU ANTOLOGI SAJAK PENDOSA

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Tulisan saya yang seterusnya adalah kritikan tentang sebuah buku Antologi Sajak Pendosa yang diselenggara oleh seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah yang bernama Lokman Abdul Samad. Terdapat lebih daripada 50 karya puisi yang telah dihasilkan didalam buku antologi ini. Saya memilih 5 puisi yang terdiri daripada hasil karya penulis yang berlainan.


Buku Antologi Sajak Pendosa ini kebanyakkan daripadanya adalah karya-karya yang bersifat keagamaan ataupun ketuhanan. Penulis menghasilkan karya mereka seolah-olah mereka menggambarkan tentang apa yang mereka dan semua masyarakat disekeliling alami. Setiap puisi ditulis mempunyai unsur sindiran dan ianya untuk menyedarkan betapa manusia terlalu alpa dengan dunia sehingga melupakan akhirat dan Tuhan-nya sendiri. Karya-karya seperti ini adalah sebuah karya yang sangat baik untuk menegur sifat segelintir manusia yang mementingkan kepentingan dunia, cara menilai sifat orang lain dan sifat manusia yang tidak kenal erti bersyukur dengan kehidupan yang telah Tuhan kurniakan serta begitu juga dengan orang yang berusaha mendekatkan diri dengan pencipta.

Didalam puisi Monolog Sebuah Taubat hasil karya Nurain Binti Lambertus Guna Hala, disini saya dapat melihat bahawa penulis cuba menyampaikan bahawa penulis cuba untuk kembali mencari Tuhan apabila penulis merasakan sesuatu kesusahan atau penulis merasa terlalu kecewa tentang apa yang berlaku pada dirinya. Kaedah penulisan dan bahasa juga mudah difahami oleh pembaca tentang apa yang cuba disampaikan oleh penulis kepada pembaca. Disini dapat dilihat bahawa penulis menggambarkan seseorang yang sudah melakukan semua perkara dengan baik tetapi dia tetap sahaja merasakan ada kekurangan. 

Adakah jiwaku mengerti 
sejauh mana niat disanubari
sejauh mana impian ingin dikecapi
jawapannya ada pada setiap nadi

Disini juga dapat dilihat bahawa penulis menerangkan bahawa insan yang hidup dimuka bumi ini terlalu mengejar dunia seperti kekayaan dan kasih sayang 'manusia' semata sehingga lalai dengan perintah dan ajaran Tuhan. Memang jelas lumrah seorang manusia apabila merasa sedih, kecewa dan susah barulah kembali kepada Tuhan, namun dalam karya ini juga dapat dilihat bahawa sekiranya kita berusaha untuk mendapat keredhaan Tuhan sudah pasti setiap apa yang kita lakukan akan dipermudahkan oleh-Nya.

Seterusnya, beralih kepada puisi yang bertajuk Seorang Lelaki karya Wan Muhammad Amirul. Pada pandangan saya penulis cuba menggambarkan tentang seseorang yang mempunyai akhlak yang kurang baik seperti penjudi atau peminum arak. Akhlak seseorang yang tidak baik tidak semestinya tidak berfikiran jauh kehadapan lebih-lebih lagi seorang yang mempunyai sifat kepimpinan. Penulis juga cuba mengkritik atau menyindir sikap segelintir pemimpin, tentang dunia yang semakin kejam sehingga sanggup berperang dan berbunuhan antara satu sama lain begitu juga dengan ahli keluarganya. Kita tidak patut menilai orang daripada sifat luarannya sahaja walhal pemikifrannya mampu mengubah dunia. Penulis juga cuba menyampaikan bahawa dunia yang dahulu sudah tidak sama dengan yang sekarang. Sudah terlalu banyak isu yang dibangkitkan antaranya menjatuhkan orang lain, memboikot dan sebagainya. Penulis tertanya adakah manusia seperti ini akan ditempatkan disisi Tuhan walaupun mempunyai akhlak sedemikian.

Seorang lelaki
dengan satu tin Tiger di tangan kiri
berbicara tentang Tuhan
tentang ideologi 
tentang zionis
tentang gadaffi
tentang liberal

Puisi Bumi yang ditulis oleh Asbudi Bin Sjaifuddin menggambarkan bahawa manusia ini terlalu berbahagia, mengejar dan leka dengan kehidupan yang ada di atas muka bumi ini. Penulis menggambarkan bahawa manusia sudah tidak mempunyai perasaan takut kepada kehidupan yang sebenar-benarnya. Seperti yang kita lihat. Disini juga jelas dilihat bahawa penulis menggambarkan pemimpin-pemimpin besar terutamanya, mungkin juga dalam kalangan ahli politik yang sibuk mengejar nama, pangkat dan harta agar kehidupan mereka lebih mewah. Seperti yang kita tahu kekayaan tidak akan didapati dengan mudah jika tidak menggunakan cara yang kotor seperti amalan rasuah, tidak amanah dan sebagainya.

Leka dengan hanya mengumpul harta
Tapi tidak dapat diguna didalamnya
Makan benda haram berada dibumi
Tapi kita pula akan dimamah ulat

Puisi Ikrar karya Ismailatif juga turut menggambarkan manusia yang sentiasa mengingati Tuhan. Kita dapat lihat bahawa penulis cuba menyampaikan hidupnya manusia di dunia ini adalah mempunya tujuan yang sama. Setiap manusia hendaklah sentiasa mengingati dan mendekatkan diri dengan Tuhan sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat kehidupan yang telah diberikan. Tuhan menciptakan manusia dengan sebaik-baiknya dapat melihat dunia, hirup udara yang segar, namun kita sebagai manusia kenapa tidak patuh kepada ajaran dan perintah-Nya? Disini juga dapat digambarkan bahawa seorang manusia hendaklah menyiapkan diri kerana Tuhan sudah menceritakan segala yang berlaku dan semua adalah pasti. Kita sebagai manusia yang hidup di dunia yang sementara ini perlu sentiasa mengingati dan mendekatkan diri kepada Tuhan dan sudah pasti kelak Tuhan akan membantu hambanya yang bertaqwa.

Yang sempurna itu ada padamu
Yang cela itu pabila adaku
Inilah ikrar ku padamu
Segalaku adalah mu
Moga kekal bersamaku

Puisi yang terakhir yang saya kritik ini adalah karya daripada Adlin yang bertajuk Hakikat Makna Yang Dalam. Melalui puisi ini menggambarkan tentang sikap segelintir masyarakat yang cuba menggunakan agama atau menyampaikan sesuatu tidak sahih. Masyarakat sekarang lebih terdedah kepada media-media dan tanpa berfikir atau memahami serta mengerti tentang sesuatu mereka hanya menyampaikan kepada otang lain yang juga tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama. Penulis seolah menyindir masyarakat kita yang seolah-olah mempergunakan agama untuk dirinya dihormati dan disegani. Orang-orang seperti ini digelar 'Penunggang Agama'.

Salah pegang tertikam diri
Sendiri binasa
Harap pahala dosa tiba
Hati-hati bila berkata tentang hakikat makfirat
Salah kata kufur dapat

Melalui puisi-puisi yang telah saya baca dan fahami seperti yang di atas, pada pendapat saya apa yang dapat kita perhatikan melalui petikan-petikan ringkas tersebut ayat dan bahasa yang digunakan adalah agak sinis dan seolah benar-benar berunsur sindiran kepada masyarakat kita pada hari ini. Seperti yang sudah saya terangkan, masyarakat atau manusia yang hidup pada akhir zaman ini sudah tidak lagi terlalu memperdulikan tentang hakikat sebenar kehidupan. Yang dikejar adalah dunia semata.

Akhir kata, kesemua penulis telah menulis karya yang terlalu bermakna dapat dapat menyentuh perasaan pembaca. Pembaca dapat merasakan bahawa setiap hasil tulisan itu adalah benar dan dilalui oleh semua orang pada masa kini. Oleh itu, penulis-penulis dan pengkarya yang lain juga seharusnya lebih banyak menghasilkan karya yang bukan sahaja bersifat sindiran malah banyak lagi untuk membuka mata semua orang. Karya-karya seperti ini juga mampu mendapat tempat dan dengan ini dapat menunjukkan bahawa kesusasteraan melayu dapat dipelihara dan tidak ketinggalan ke belakang.






Tuesday, 17 September 2019

TAKRIF , CIRI DAN FUNGSI SASTERA RAKYAT DALAM KONTEKS DUNIA FOLKTOR


Sastera rakyat atau Folk literature membawa maksud satu bentuk kesusasteraan yang lahir dalam kalangan masyarakat Melayu zaman silam yang dikenali sebagai masyarakat tradisional. Sastera ini adalah milik rakyat yang hidup dalam kelompok dan bekerjasama. Sastera rakyat dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Folklore, Folktale, Folk Verbal, Folk life, Folk culture dan sebagainya. Sastera rakyat mempunyai istilah yang amat terbatas dan merujuk kepada cerita-cerita lisan daripada golongan tua atau pun orang-orang lama untuk menidurkan anak-anak mereka. Folk ditujukan kepada komuniti iaitu masyarakat luar bandar yang mengamalkan cara hidup tradisional. Lore pula bermaksud suatu bahan yang dikongsikan bersama - sama.




Folklore juga wujud dalam kalangan penduduk bandar yang literate ( celik ) dan sophisticated ( canggih ). Menurut William Thom, Folklore adalah tradisi lisan yang terbahagi kepada dua iaitu folktale dan folk performanceFolk bermaksud sekumpulan masyarakat yang berkongsi nilai yang sama. Lore bermaksud bahan material yang dimiliki oleh masyarakat seperti cerita lipur lara, mitos, legenda manakala performances adalah seperti Mak yong, Menora, Wayang Kulit, Main Puteri dan banyak lagi. Menurut Francis Zee Utley, Folklore adalah cerita lisan bukan tulisan. Beliau menegaskan folklore bukan sains tetapi ianya mempunyai kaitan rapat berhubung dengan ilmu sains dan puisi rakyat. Sastera dan sains merupakan sebuah bidang yang berbeza, namun kedua-duanya berhubung kait dengan ilmu. Menurut Wolfram, sastera rakyat telah dibahagikan kepada dua  pengertian iaitu folklore yang bermaksud oral tradition atau tradisi lisan atau tradisi budaya. Walau bentuk apa-apa yang wujud, setiap masyarakat di seluruh dunia mempunyai sastera rakyat atau folklore iaitu hasil seni pengucapan yang terdapat dalam sesuatu budaya masyarakat tersebut.


Sastera rakyat mempunyai beberapa ciri-ciri yang tertentu antaranya ialah cara penyampaian yang teratur. Cara sastera rakyat disampaikan adalah dengan melalui lisan iaitu dari pertuturan yang teratur dan tersusun serta jelas. Sastera rakyat disampaikan dengan menggunakan bahasa yang baik, indah dan menggambarkan tentang sesuatu perkara. Contohnya, dalam sastera rakyat khususnya ada lipur lara, tukang cerita akan menggunakan pengucapan yang teratur. Bukti yang jelas dapat dilihat pada Hikayat Malim Dewa : “ Al-Kisah, maka tersebutlah pula sebuah negeri, namanya Kuala Medan Baik, yang memerintah negeri itu, seorang namanya laksamana. Maka ada ia beranak seorang perempuan, dinamakan Tuan Puteri Gondan Gentasari, terlalulah amat elok rupanya, hitam manis, agong sederhana, sedang panjang lampai tubuhnya….”.




Selain itu, sastera rakyat juga mempunyai tema dan nilai yang tersendiri. Setiap nilai yang terdapat dalam sesebuah cerita sastera rakyat mempunyai nilai-nilai yang mendalam seperti menyindir, mengkritik golongan atasan, nilai kasih sayang dan banyak lagi. Masyarakat terdahulu sudah mula menyelitkan nilai-nilai didalam cerita-cerita ataupun sastera rakyat mereka untuk tujuan yang tertentu. Sastera rakyat pula mempunyai pelbagai bentuk antaranya sastera rakyat berbentuk cerita seperti mitos, lagenda, cerita teladan, cerita asal usul, cerita binatang dan banyak lagi manakala sastera rakyat yang berbentuk bukan cerita pula adalah seperti puisi, pantun, gurindam, mantera dan banyak lagi.


Kemudian, fungsi sastera rakyat pada masyarakat dahulu adalah bertujuan untuk mengkritik atau menyindir golongan raja dan bangsawan. Misalnya melalui cerita jenaka seperti Pak Kaduk yang jelas menyindir golongan berkuasa yang bersikap zalim, tamak, mementingkan diri sendiri yang tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat jelata. Begitu juga jalan cerita Pak Pandir, Lebai Malang yang terselit unsur sindiran terhadap orang yang tamak kedekut dan gilakan kuasa dan orang yang sering mengambil kesempatan terhadap diri orang yang lemah.




Disamping itu, sastera masyarakat juga berfungsi sebagai alat komunikasi. Hasil karya yang berbentuk lisan ini istimewa dan digunakan untuk menyampaikan hajat. Misalnya dalam adat perkahwinan, orang-orang melayu menggunakan pantun untuk berkomunikasi dan menyampaikan hajat kepada pihak perempuan. Selain itu banyak lagi fungsi - fungsi yang lainya seperti fungsi untuk mendidik, fungsu pantang larang dan lain lain lagi.

Akhir kata, tradisi lisan merupakan khazanah warisan budaya bangsa yang tidak ternilai harganya. Walaupun ia adalah hanya secebis warisan namun peranan dan sumbangannya ke arah membina dan membentuk budi fikir dan budi rasa kolektif bukan sedikit. Peranannya bukan sahaja sebagai sumber hiburan tetapi juga sebagai wahana pendidikan, sumber ilmu, gambaran sejarah budaya bangsa dan pelbagai lagi. Justeru ia perlu dipertahankan, diperelokan, digali, dicari dan didokumentasikan dalam pelbagai versi. Kita harus melihat tradisi lisan bukan lagi suatu produk yang tidak menyumbangkan apa-apa pulangan dalam bentuk ekonomi tetapi perlu diolah melalui daya kretiviti untuk menghasilkan ekonomi. Kesusasteraan perlu dilihat lebih jauh  daripada satu subjek kepada satu disiplin yang boleh memberikan bukan sedikit sumber ilmu kepada khalayak, pembaca apatah lagi pengkaji.

Wednesday, 11 September 2019

"SENI UNTUK SENI dan SENI UNTUK MASYARAKAT"

Seni


Seni merupakan salah satu bakat terpendam, kemahiran, kreativiti atau cara seseorang untuk meluahkan isi hati dengan menghasilkan karya-karya yang unik dan tersendiri. Seni agak sukar ditafsir kerana ia mempunya banyak cabang-cabang tertentu seperti seni lakon, nyanyian, tarian, lukisan, rekacipta, fotografi dan sebagainya.

Seni Untuk Seni dan Seni Untuk Masyarakat ?

 Sebelum itu, kita harus mengetahui lebih lanjut Apa Itu ASAS 50

Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 merupakan sebuah pertubuhan yang awal yang didirikan dengan tujuan untuk bergerak dalam lapangan bahasa dan sastera. Kata sepakat untuk menubuhkan ASAS 50 telah dicapai dalam satu perjumpaan di rumah kediaman Cikgu Arif bin Ahmad (MAS),  yang dihadiri oleh lebih 20 orang penulis muda ketika itu. Sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Mas dan Hamzah sebagai setiausaha untuk menyusun perlembagaan dan menguruskan mesyuarat penubuhan. Jawatankuasa ini segera mengendalikan soal pendaftaran dengan pihak kerajaan. Pada 22 haribulan Jun 1951, barulah ASAS 50 didaftarkan untuk bergerak sebagai sebuah badan yang sah. Konsep ASAS 50 adalah "Seni Untuk Seni" dan Seni Untuk Masyarakat". Tujuan penubuhan ASAS 50 adalah untuk mempertinggikan martabat kesusasteraan, perlindungan undang-undang dan hak kepada penulis dan mengubah dan mencipta perkataan untuk memperkaya bahasa.

Menerusi akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman dan majalah Mastika yang memberikan peluang kepada penulis untuk berkarya telah membangkitkan gelombang sastera melayu serta memberi ilham kepada penubuhan ASAS 50. 

Pada pandangan saya melalui fahaman Hamzah Hussein,"Seni Untuk Seni" menurut beliau adalah karya-karya seni yang dihasilkan oleh penulis hanya akan difahami oleh orang-orang seni dan penulis sahaja. Menurutnya, karya yang terhasil hanya untuk dijadikan sebagai hiburan semata mata dan tidak sesuai untuk dikongsikan dan digunakan dalam kehidupan masyarakat. Penulis hanya ingin mendapat keseronokan dan baginya seni digunakan hanya untuk berhibur serta untuk memuaskan penulis itu sendiri sahaja. Menurut saya , fahaman ini sama sekali tidak tepat kerana seni ada meluas dan semua orang mempunyai "bakat" seni secara tersendiri bukan sahaja penulis puisi, novel, cerpen dan sebagainya malah terdapat juga seni lain seperti menari, menyanyi, melukis yang biasa dilakukan oleh semua orang.

Berlainan pula dengan fahaman Asraf melalui slogan "Seni Untuk Masyarakat". Menurut fahaman beliau seni bukan hanya dimiliki oleh orang-orang seni sahaja malah ianya sebati didalam diri masyarakat itu sendiri. Karya penulis yang di amati memberikan pengajaran dan pembelajaran kepada masyarakat sebagai contoh penulis menggunakan perkataan-perkataan yang baru. Selain itu, melalui penulisan puisi, sajak, cerpen dan novel ini penulis juga telah dapat meperjuangkan matlamat masyarakat untuk mencapai kemerdekaan apabila dijajah oleh British. Menurut saya, pandangan "Seni Untuk Masyarakat" ini adalah lebih membuka minda dan mata masyarakat untuk lebih menghayati hasil-hasil seni dan dapat memperjuangkan kesusasteraan melayu agar terus terpelihara.

Akhir sekali, apabila berlakunya perdebatan ini banyak spekulasi yang telah berlaku yang melibatkan kedua-dua slogan sehingga ia mempecahbelahkan penubuhan ASAS 50 dan terbabas daripada landasan tujuan sebenar penubuhan itu.